Sabtu, 5 Mac 2016

PeRUPA DEKATI PELUKIS AMATUR.


Menyedari ruang dan peluang bukanlah sentiasa terbuka untuk pelukis muda, PeRUPA (Persatuan Seni Rupa Malaysia) mengambil langkah dengan menyediakan platform kepada para pelukis amatur untuk terus berkarya. Kebanyakan pelukis amatur terutama yang tidak mendapat pendidikan spesifik dalam bidang seni rupa agak malu untuk menonjol walaupun kadangkala mereka mempunyai bakat yang besar. Bakat anak muda yang terpendam ini boleh diketengahkan melalui pelbagai acara yang diadakan di PeRUPA.

Baru-bari ini telah berlangsung sebuah pameran APRESIASI GSR (GALERI SENI RUPA) di Galeri PeRUPA , Diamond Square, Jalan Gombak , Kuala Lumpur. Pameran yang berinspirasi dari latihan melukis di grup FB ini akhirnya berjaya mengumpulkan 40 karya dalam satu pameran. Rata-rata pelukis yang terlibat adalah generasi muda dan pertama kali berpameran, antaranya ialah: Fatah Si Badai, Azam Ridzwan, Mohd Nasir, Maisarah Saidi Sukri, Noraidah Zulkifli, Saudi Zakaria, Arif, Awi, Galoh Intan, Hidayatul Husna dan Norul Nizam. Pameran yang dikuratorkan oleh Johari Ibrahim ini masih berlangsung sehingga 15 April 2016.

Karya Mohd Nasir dalam pameran APRESIASI GSR

Karya Awi dalam pameran APRESIASI GSR


Dalam satu pameran yang pernah diadakan di Galeri Artiseri, Hotel Seri Pacific PeRUPA dengan kerjasama pihak galeri memperkenalkan pelukis muda dalam bidang seni digital iaitu Muhamad Syahid Yusof, Khairulnizam Aziz dan Mior Zulkarnain Abdul Hamid.  Pameran ini mendapat sambutan yang hebat memandangkan medium seni lukis digital amat diminati oleh generasi muda. Kelainan yang dibawa dalam pameran ini ialah ia dipamer gandingkan bersama dengan karya  manual dari pelukis Abu Zaki Hadri, Irwan Idris dan Ahmad Shukri.


Karya Muahamad Syahid Yusof dalam pameran DIGITAL VS MANUAL

Disamping berpameran PeRUPA juga menyediakan acara BICARA SENI untuk memberi pendedahan kepada pelukis muda bagi memperkasakan mereka dalam bidang seni lukis. Masih ramai pelukis muda yang belum mahir dan belum menguasai bagaimana untuk menghasilkan sesebah lukisan yang baik dan mencapai penanda aras bagi sesuatu galeri terhadap karya-karya yang dihasilkan. Dengan itu PeRUPA memberi sedikit panduan kepada pelukis baru bagaimana menghasilkan produk seni lukis yang berkualiti.

Bicara Seni di Galeri PeRUPA

Persatuan Seni Rupa yang beroperasi di Diamond Square, Jalan Gombak , Kuala Lumpur dipimpin oleh Saudara Aris Aziz selaku Pengerusi, sedang merangka pelbagai program untuk memeriahkan dan melestarikan dunia seni lukis terutama di Lembah Klang. Menurut Aris Aziz, “ Dalam seni lukis ini kita tidak perlu untuk bersaing dengan sesiapa, apakah kita tidak sedar bahawa sipesaing itu hanya ada dalam diri kita. Lantas terus sahaja berkarya. ” Kata-kata pelukis sepenuh masa yang sudah berkecimpung 40 tahun dalam dunia senilukis ini seharusnya menjadi pendorong kepada pelukis muda. Pelukis muda ini boleh sahaja memilih apa genre dan pendekatan yang ingin mereka bawa jika mereka sudah ada ilmu tersebut. Tidak kira samada mereka mensasarkan galeri-galeri utama untuk menjaja lukisan atau pun sekadar di kaki lima.

PeRUPA juga membuka ruang kepada sesiapa sahaja dalam kalangan ahli untuk membina produk dan dipromosikan melalui persatuan. Saudara Zahuri Harun baru-baru ini telah berjaya menerbitkan dua judul buku hasil dari karya-karya lukisannya iaitu ‘MALAYSIA SCENERY ADULT COLOURING BOOK-STRESS RELIEVING’. Buku tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemandangan kampung dan pemandangan bandar. Buku yang sedang berada dipasaran, boleh didapati di MPH Bookstore dengan harga RM38 senaskah. PeRUPA mensasarkan ada lagi produk buku yang bakal diterbitkan memandang buku-buku berkaitan seni lukis amat terhad dalam negara kita.

Produk PeRUPA, Buku Malaysia Scenery Adult Clouring Book oleh Zahuri Harun




Menurut Sdr Raduan Norudin, selaku Setiausaha PeRUPA, “ Semenjak 3 tahun PeRUPA ditubuhkan, persatuan ini cuba mendekati golongan pelukis muda, terutama dari golongan yang tidak mendapat pendidikan formal, disini kami akan bantu dan beri tunjuk ajar mengikut kemampuan kami. Ini dilakukan supaya bakat-bakat yang dimiliki oleh pelukis tersebut tidak sia-sia begitu sahaja. Modal insan sebegini jika dapat dipertingkatkan akan memberi pelbagai kebaikan dalam masyarakat”.